Assalamualaikum kepada pembaca blog.. Kali ini, saya ingin berkongsi cerita kepada teman-teman tentang percutian saya ke Bandung dan Jakarta bersama-sama dengan rakan sekerja saya. Sambil berjalan-jalan melihat keindahan kota raya Bandung dan Jakarta serta keunikan adat dan budaya orang Indonesia...sempat juga saya merakamkan memori terindah sepanjang saya berada di sana untuk tatapan semua pembaca blog ini. Jadi,...nikmatilah keindahan dan coretan saya ye...
.
28/11/2010 Jakarta-Bandung
Pada jam 5.05 petang, kami telah menaiki KLM Airlines untuk ke Jakarta. Saya berasa amat teruja, ini kerana kapal terbang yang kami naiki adalah kapal terbang jumbo yang dilengkapi inflight entertainment. Jadi, sepanjang perjalanan, saya sempat melayan lagu sambil menonton filem yang ditayangkan.
Kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Jakarta tepat pada jam 7.30 malam. Namun begitu, disebabkan urusan tuntutan bagasi yang lambat, kami terpaksa menunggu hampir sejam dalam keadaan berdiri. Bukan itu saja, kami juga terpaksa menunggu pemandu pelancong agak lama disebabkan salah faham tempat menunggu.
Selesai berjumpa "supir" yang bernama Sigit, kami menaiki Toyota Kijang/Innova dan terus ke Bandung dan singgah makan malam di Rumah Makan Sederhana 19 di hentian rehat lebuhraya menuju ke Bandung. Walaupun masih terasa kenyang kerana baru selesai makan di atas kapal terbang, tetapi disebabkan hidangan nasi padang dan teh tawar yang dihidangkan, kami berlima tidak melepaskan peluang untuk menghabiskannya.
Selesai sarapan pagi di hotel, kami lihat "supir" sudah bersedia di hadapan lobi untuk membawa kami bersiar-siar pada hari tersebut. Destinasi pertama kami pagi itu adalah ke Tangkuban Perahu, iaitu sebuah kawah gunung berapi yang terletak di Gunung Sunda Purba. Di sini terdapat tujuh buah kawah dimana hanya satu kawah yang masih aktif manakala enam kawah lagi sudah tidak aktif. Perjalanan dari Bandung mengambil masa kira-kira 45 minit dan cuacanya agak dingin dan sejuk tetapi tidaklah sampai perlu memakai sweater.
Sebaik kami sampai di sini, ramai yang berkerumun untuk menjual pelbagai barangan mereka. Keadaan tersebut membuatkan kami agak rimas dan lemas sehingga tidak dapat menikmati sepenuhnya keindahan kawasan tersebut. Kemana saja kami pergi pasti ada yang menghampiri untuk menjual barangan mereka yang rata-rata harga yang ditawarkan sungguh tidak masuk akal.
Di sini juga ada disediakan kemudahan seperti surau dan tandas. Harga bagi menggunakan tandas adalah Rp2,000 bersamaan 70sen duit Malaysia, yang saya rasakan agak mahal berbanding dengan kemudahan yang ditawarkan. Kami menghabiskan masa di sini kira-kira sejam untuk bergambar dan berehat-rehat sebelum bertolak ke destinasi seterusnya iaitu di Ciater Hotspring.
Sebahagian pemandangan kawah gunung berapi |
Ciater Hotspring adalah kolam air panas tempat orang ramai merendam kaki. Sebaik masuk sahaja di sini, kami diekori oleh dua orang lelaki yang berpakaian kuning yang menjual aiskrim. Dia berbual-bual sambil menawarkan diri untuk mengurut kaki yang direndam dalam air panas tersebut.
Kami makan aiskrim sambil merendamkan kaki kami di dalam kolam air panas tersebut. Kami juga disuruh merasa air kolam tersebut yang mempunyai 3 rasa. Sememangnya air tersebut mempunyai tiga rasa iaitu masam, masin dan payau. Pelik tapi itulah hakikatnya.
Pemandangan sekitar kolam air panas |
Selesai merendam kaki disitu, kami dicaj Rp260,000! Harga tersebut adalah untuk aiskrim Rp20,000 atau RM7 setiap satu dan urutan Rp70,000 seorang. Memang harga yang tidak masuk akal untuk harga aiskrim tersebut!. Tetapi disebabkan sudah pun menerima perkhidmatan dan aiskrim tersebut maka kami terpaksa membayarnya.
Selesai di kolam merendam kaki, kami ke kebun strawberi untuk membeli strawberi yang boleh dipetik sendiri. Kami bayangkan tempat tersebut seperti di Cameron Highlands tetapi ia amat jauh berbeza kerana ia hanyalah sebuah halaman yang sebesar halaman rumah, dengan dihiasi beberapa batas pokok strawberi sahaja.
Oleh kerana teringin dan alang-alang sudah sampai, kami memetik strawberi dan dapatlah dikumpul sebanyak 1/2 kilogram. Cukuplah untuk kami makan dalam perjalanan sambil menunggu makan tengahari. Harga bagi 100 gram strawberi adalah Rp7,000, lebih murah berbanding di Cameron Highlands yang menjualnya dengan harga RM30 sekilogram.
Ikan gourami goreng yang terkenal di sini |
Makanan di sini memang sedap dan enak. Di hadapan restoran ini terdapat beberapa gerai buah-buahan. Kami tidak melepaskan peluang dengan membeli sesikat pisang, buah alpukat (avocado) dan buah jeruk (limau). Harga yang ditawarkan begitu murah dan berpatutan.
Setelah selesai makan tengahari, kami pulang semula ke Bandung dan singgah di Rumah Mode. Di sini terdapat pelbagai barangan fesyen yang terkini seperti pakaian, beg tangan dan pelbagai lagi. Tempat ini cantik dan moden dihias seperti ala Bali. Kami tidak membeli apa-apa disini, sekadar mencuci mata dan bergambar di sekitar kawasan ini.
Satu pengalaman yang agak kurang menyeronokkan ialah tentang tandas di sini. Setiap tandas mempunyai pintu tetapi tidak mempunyai dinding di belakangnya. Ini bermakna, orang sebelah boleh mengintai atau pergi ke bilik air sebelahnya melalui bahagian belakang yang tidak mempunyai dinding. Keadaan tandas dengan rekaan sebegitu menyebabkan ketidakselesaan kepada pengguna dimana mereka sepatutnya lebih prihatin dengan keadaan tersebut kerana majoriti penduduknya beragama Islam.
"Supir" membawa kami ke destinasi seterusnya iaitu di The Summit, Jalan Riau. Di sini juga dijual barangan dengan rekaan dan fesyen terkini dan masing-masing sempat membeli sehelai seorang baju dan blaus sebagai kenang-kenangan. Harga barangan disini berpatutan dengan pilihan rekabentuk yang agak menarik. Oleh kerana kepenatan, kami meminta untuk pulang dahulu ke hotel untuk berehat sebelum makan malam.
Pada jam 7 malam, kami telah meminta "supir" untuk membawa kami makan di Restoran D' Cost, tempat yang dicadangkan oleh Yani, iaitu kenalan yang kami temui sewaktu dalam penerbangan ke sini. Yani yang sudah 8 kali berkunjung ke Bandung mencadangkan kami mencuba masakan di restoran ini yang menurutnya sedap dan harganya berpatutan. Kami dihidangkan dengan ikan gourami masak asin, sayur kangkung, sotong goreng, ikan bakar, dan beberapa jenis lauk lagi.
Pada pendapat kami, makanan direstoran ini tidaklah sesedap seperti yang kami jangkakan. Kami telah memesan tomyam tetapi rasa tomyam tersebut tidak ubah seperti rasa sup kosong. Memang jauh bezanya dengan rasa masakan di Malaysia. Selesai makan malam, kami pulang berehat di hotel untuk aktiviti keesokan harinya.
30/11/10 Bandung-Jakarta
Selesai bersarapan di hotel, kami telah daftar keluar hotel. Destinasi seterusnya ialah tempat yang kami nanti-nantikan iaitu Pasar Baru. Pasar Baru ini adalah sebuah gedung beli belah 7 tingkat. Ia menjual pelbagai barangan seperti kain batik, kain pelikat, kopiah, telekung solat, jubah dengan pelbagai saiz dan corak, kaftan, baju batik, kain pasang, kraftangan, beg tangan, bagasi dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, semua barangan untuk dijadikan cenderahati ataupun untuk keperluan diri sendiri ada dijual di sini. Harganya memang sangat-sangat murah. Ada yang murahnya 4 kali ganda berbanding Malaysia.
"Supir" kami telah memberi masa 3 jam untuk kami membeli belah disini. Namun begitu, disebabkan leka dan seronok membeli belah, kami telah meminta "supir" menambah masa untuk sejam lagi. Disini, sempat juga kami membeli kain pasang, telekung solat, jubah, baju batik, kaftan, beg, cenderahati bandung seperti t-shirt, keychain dan magnetic fridge. Selesai di Pasar Baru, kami singgah makan tengahari di Rumah Makan Sederhana Nasi Padang. Oleh kerana lapar dan penat membeli belah, kami telah menghabiskan kesemua lauk yang dihidangkan.
Jus jeruk yang dihidangkan juga memang sedap sekali. Di hadapan restoran terdapat gerai menjual buah durian. Oleh kerana teringin mencubanya, kami telah meminta penjual membuka sebiji
durian. Isi buah durian tersebut tidaklah sesedap durian di Malaysia. Namun, apa yang lebih memeranjatkan kami adalah harga sebiji durian tersebut mencecah Rp55,000 untuk sebiji, dengan nilai matawang Malaysia hampir RM20.
Selepas itu, kami telah singgah di Kartika Sari di Dago, Bandung untuk membeli brownies yang dikatakan sedap disini. Harga bagi sekotak brownies ialah Rp44,000 dan tahan untuk seminggu manakala harga bagi brownies kukus pula lebih mahal jika hendak dibandingkan dengan brownies biasa namun ianya hanya mampu bertahan untuk 3 hari sahaja. Kami membeli brownies almond, chocolate chips dan cheese kerana menurut "supir", ketiga-tiganya adalah yang paling popular di sini.
Perjalanan ke Jakarta mengambil masa lebih lama berbanding semasa kami mula datang dahulu. Hampir 5 jam kami dalam kenderaan berbanding hanya 3 jam masa yang sepatutnya sampai. Dengan kesesakan lalulintas yang teruk, kami telah terlepas untuk makan malam kerana kebanyakan restoran hanya beroperasi sehingga jam 9 malam sahaja. Oleh kerana kepenatan dan keletihan lebih menguasai dari rasa lapar, kami telah meminta "supir" membawa kami ke restoran makanan segera Mc Donalds sahaja. Selesai mengalas perut secara ala kadar, kami telah daftar masuk Hotel Orchardz, Jakarta untuk berehat dan mengemas barang-barang yang kami telah borong di pasar baru pagi tadi memandangkan pada keesokannya kami akan pulang ke Malaysia.
Kami telah turun untuk bersarapan di hotel. Namun, disebabkan ruang makan yang bising ditambah dengan ruang merokok hanya bersebelahan dengan ruang makan kami, disamping makanan yang disediakan agak kurang menyelerakan, ianya telah membantutkan selera kami untuk menikmati makanan dengan selesa. Keputusannya, kami tidak menjamu selera dan hanya berbual kosong sementara menunggu masa berlalu untuk daftar keluar dan bersiar-siar di Jakarta.
Selesai urusan check out, "supir" telah membawa kami bersiar-siar melawat ke kota Jakarta. Kami singgah di Masjid Istiqlal, iaitu sebuah masjid yang terbesar di Southeast Asia. Masjid ini mampu memuatkan kira-kira 120,000 orang jemaah. Selepas itu, kami telah melawati kediaman Presiden Indonesia, dan singgah di Monas iaitu singkatan bagi Monumen Nasional.
Monas merupakan sebuah menara yang mana di atasnya terdapat pelantar untuk orang ramai melihat keindahan seluruh kota Jakarta. Kami tidak berkesempatan untuk menaiki menara Monas disebabkan kekangan masa. Kami hanya sekadar bergambar kenangan di padang merdekanya sahaja dengan berlatarbelakangkan bangunan ini. Di sini, kami juga sempat membeli t-shirt Jakarta dengan harga yang ditawarkan sama seperti mana harga bagi sehelai t-shirt yang dibeli di Bandung.
Kami kemudiannya ke destinasi seterusnya iaitu Taman Mini Indonesia. Ianya merupakan sebuah tempat yang menempatkan rumah dan adat budaya dari 33 daerah di Indonesia. Bagi mereka yang ingin mengenali dengan lebih dekat tentang budaya dan adat setempat di negara ini, sememangnya tempat ini adalah destinasi yang patut untuk dikunjungi.
Disebabkan tempatnya amatlah besar dan rumah-rumah disusun mengikut peta Indonesia, kami hanya berkesempatan melawat kepulauan Sumatera dan bergambar di rumah Minangkabau (Padang), Batak dan Melayu (Medan) serta Acheh. Bagi rumah di sekitar kepulauan Jawa, Kepulauan Sulawesi dan Kalimantan, kami cuma berkesempatan mengambil gambar hanya dari luar sahaja.
"Supir" telah membawa kami mengenali tempat asal usulnya iaitu di Jawa Tengah dan sempat juga kami melihat replika Candi Borubudur dan minum Es Dawet Ayu Banjarnegara atau dalam bahasa Melayunya Cendol!. Jalan mula sesak ditengah-tengah bandaraya Jakarta disebabkan oleh demonstrasi jalanan. Dengan Matahari yang semakin terik disamping perut yang mula berkeroncong menyebabkan perjalanan yang sepatutnya singkat mengambil masa begitu lama untuk tiba ke destinasi seterusnya. Kami sampai di Restoran Salero Jumbo dan dihidangkan dengan masakan padang. Kali ini hidangannya agak istimewa kerana ada kari kepala ikan merah. Selesai makan dan bergambar di sekitar restoran ini, "supir" membawa kami ke pusat membeli belah Mangga Dua.
Jam semakin menghampiri 4 petang dan masa penerbangan kami adalah pada jam 7.25 petang. Melihatkan keadaan yang sesak untuk masuk ke pusat beli-belah tersebut, menyebabkan kami telah mengambil keputusan untuk berpatah balik dan terus sahaja ke Lapangan Terbang.
Kami sampai di airport pada jam 4.30 petang dan jam 5.30 petang kami masuk ke kaunter check in yang telah pun panjang barisannya. Mujur jugatempat duduk kami telah tempah awal-awal lagi, jadi ianya tidaklah kelam kabut. Selesai check in dan membayar airport tax di kaunter check in sebanyak Rp150,000 seorang, kami terus ke kaunter imigresen dan menunggu di balai berlepas. Sempat juga membeli kek lapis dengan penjual sebelum masuk ke balai berlepas bagi menghabiskan baki rupiah yang ada buat ole-ole pulang ke Malaysia.
Indonesia kami tinggalkan dengan seribu satu kenangan. Yang pastinya kenangan paling menyeronokkan setiap dari kami adalah melihat dan belajar tentang kebudayaan sesuatu bangsa dan sesungguhnya kami amat merasa bertuah kerana dilahirkan dan dibesarkan sebagai anak jati Malaysia. Kenangan membeli belah di Bandung juga amat menyeronokkan dan pastinya itulah sesuatu yang kami ingin ulangi lagi di masa-masa akan datang. Insya Allah, andai berkesempatan, kami ingin pula melawat Padang dan Bukit Tinggi untuk mengenali lebih dekat budaya orang di sana pula. Sayonara dan sampai jumpa lagi...
Assalamualaikum Tuan/Puan.
ReplyDeleteSalam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi kami di:
KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
Tour operator & Travel Agency
Kami memberikan pengkhidmatan tour ground handling di beberapa daerah yang favorit untuk di lawati di Indonesia. Kami arrange secara profesional dan dengan penuh rasa kekeluargaan, juga dengan harga tour yang sangat berpatutan seperti ke : Padang dan Bukittinggi Tour, Aceh Tour, Medan Tour, Jakarta dan Bandung Tour, Jogjakarta Tour dan Bali Muslim Tour.
Contact person : Amsyahril
Mobile : +6285263007445
E-Mail : am_holidays@yahoo.com / kita_holidays@yahoo.com / kitaholidays@yahoo.com.